Kepentingan Anak & Permainan
Perkembangan teknologi pada masa kini tidak dinafikan dapat membantu perkembangan kognitif kanak-kanak, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.
Teknologi juga sudah menjadi sebahagian daripada alat permainan kanak-kanak hari ini. Ikuti penerangan lanjut kepentingan permainan kepada anak-anak oleh Ross Azura Zahit, Pensyarah/Pakar Psikologi Klinikal, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
Kalau diperhatikan di mana-mana sahaja, kanak-kanak yang sedang menunggu tidak kira sama ada di klinik, lapangan terbang, mahupun di kedai makan akan leka dan begitu asyik dengan tablet mereka.
Malah, anak kecil yang berusia semuda satu tahun sekalipun sudah pandai menekan atau menyentuh skrin sesentuh yang diberikan oleh ibu bapa mereka.
Kewujudan teknologi dan dunia tanpa sempadan ini sememangnya memberi manfaat kepada anak-anak. Permainan yang dimuat turun membina keupayaan berfikir dan memacu perkembangan emosi dan kognitif anak-anak.
Selain daripada permainan yang dimuat turun atau yang menggunakan kemudahan teknologi, permainan lain seperti puzzle, block, juga mampu mendorong perkembangan potensi kanak-kanak.
Kepentingan Permainan
Dari perspektif Islam, permainan merupakan salah satu kaedah mendidik anak-anak mengikut cara Rasulullah S.A.W. Justeru, membelikan permainan untuk anak amat digalakkan kerana manfaat yang akan diterima oleh si anak sangatlah besar.
Malah Rasulullah S.A.W sendiri mengakui baginda melayan Aisyah R.A bermain kerana usianya yang masih kanak-kanak, menjadi bukti tentang kepentingan permainan kepada anak-anak. Permainan yang dibenarkan dan digalakkan dari sudut pandangan Islam adalah yang sesuai dengan usia dan kemampuannya.
Selain daripada itu, ciri-ciri lain yang perlu dipertimbangkan ketika membeli permainan untuk anak-anak adalah permainan tersebut haruslah:
a) Menyokong perkembangan kemahiran motor dan kecergasan fizikal kepada si anak
b) Menjana perkembangan fikiran yang positif
c) Memacu kebolehan anak untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah
d) Menggalakkan sifat ingin tahu dan ingin mencuba kepada diri anak
e) Mendorong anak meniru tingkahlaku dan kelakuan yang baik
f) Meningkatkan kemahiran bahasa
g) Memperkukuhkan semangat kerjasama, bantu membantu dan perkongsian
h) Tidak menyerupai bentuk sebenar sesuatu makhluk (patung)
Justeru, belikanlah anak anda mainan dan biarkanlah mereka bermain dan berkembang! Jangan khuatir, permainan adalah sesuatu yang menyeronokkan dan ia juga memberi manfaat kepada anak-anak anda. Jom bermain!
No comments:
Post a Comment